Kerjaya muzik James Baum

James Baum memulakan kerjaya dalam bidang muzik pada usia belasan tahun.[4] Beliau meninggalkan kampung halamannya di Georgetown, Pulau Pinang untuk mengejar impiannya dalam bidang muzik. Sebagai pemuzik yang diajar sendiri, beliau mula memetik gitar pada usia 14 tahun. Asalnya bermula dengan hip hop, James berpeluang menjadi sebahagian daripada Ammo Alliance yang diasaskan oleh Poetic Ammo, malah beliau juga menyumbangkan suaranya dalam tiga lagu Poetic Ammo - "All About The Hook Up", "We Hit Em Up Too" dan "Intellectual Poetry" yang dimuatkan dalam album kedua kumpulan itu, The World Is Yours.[4]

Gaya muziknya yang merangkumi R&B dan kontemporari urban mendorong beliau bekerjasama dengan ramai penyanyi termasuk Poetic Ammo, Dayang Nurfaizah, Hannah Tan dan Syamsul Yusof.[1][2] Pada tahun 2004, beliau melancarkan single solo pertamanya, "Skirts" dengan menampilkan duet bersama Damian Mikhail.[4][5] EP sulungnya, Backstage dikeluarkan pada 2007 oleh R Records milik Reshmonu dengan "Letter in a Song" dikeluarkan sebagai single utamanya.

James juga paling dikenali menerusi rentetan kerjasamanya bersama Skop Productions milik Yusof Haslam apabila beliau menyumbangkan muzik tema untuk filem Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Aku Bukan Tomboy serta drama Gerak Khas dan Metro Skuad.[2] Beliau menubuhkan Red Room Studios yang bertumpu kepada penerbitan muzik. Pada November 2011, beliau melancarkan album sulungnya, My Lead yang mengandungi 17 lagu, dengan "Locked in Love" dan "Dirinya Sebenar" dikeluarkan sebagai single.[1][2][6]

Rujukan

WikiPedia: James Baum https://www.budiey.com/james-baum-launch-my-lead-a... https://www.pressreader.com/malaysia/the-star-mala... https://www.last.fm/music/James+Baum/+wiki https://www.klik.com.my/item/story/1717806/baum-in... https://www.klik.com.my/item/story/4229322/skirts-... https://www.klik.com.my/item/story/4988677/baum-s-... https://www.klik.com.my/item/story/5245402/permula... https://www.klik.com.my/item/story/724209/james-un... https://www.mstar.com.my/spotlight/hiburan/2011/11...